Kawan

Saya tak berapa ingat zaman sekolah rendah saya. Mungkin ada banyak kenangan pahit jadi saya tak suka ingat kenangan itu. Saya bukan datang dari keluarga yang senang. Setiap kali saya datang sekolah, saya datang dengan baju yang tidak bergosok disebabkan rumah saya pada ketika itu tidak ada elektrik kerana saya tinggal di kawasan setinggan. Jadi kamu semua boleh bayangkan saya bersekolah dengan baju yang renyuk. Tapi pada ketika itu saya merasakan baju saya ok sahaja. 

Rumah yang saya duduk itu juga tiada bekalan air. Kekadang saya mandi air hujan. Pernah tengok filem Setinggan lakonan S. Shamsudin dan Allahyarhamah Yusni Jaafar? Macam gitu lah kami hidup dengan berkongsi paip mengikut giliran. Cuma kami tak ada bergaduh berebut paip macam dalam filem itu. 

Arwah bapa saya pula hanya memandu kereta Datsun 120Y. Kereta lama. Kawan sekolah saya sampai turun dari kereta saya ketika saya tumpangkan dia untuk pergi ke sekolah agama. Katanya dia hendak singgah ke rumah kawan tapi sebenarnya dia tidak tahan bau hanyir ikan yang arwah bapa saya beli dipasar untuk dijual di kedai runcit yang dibuka oleh arwah bapa saya dan satu lagi sebenarnya dia malu kalau-kalau orang nampak dia naik kereta buruk arwah bapa saya itu.

Saya tidak berprasangka buruk terhadap kawan saya itu dengan kenyataan saya sebegitu. Ini kerana kawan saya itu sendiri yang memberitahu perihal saya dan keluarga dan kehidupan saya dihadapan kawan-kawan saya yang lain. Dia juga telah mentertawakan dan menghina saya disebabkan saya tidak menggosok baju. dan menghina arwah bapa saya yang sudah tua itu. Masa tuh tak dapat bayangkan betapa terhinanya saya.

Apabila masuk sekolah menengah, kami masih satu sekolah. Cuma kami tidak lagi bertegur sapa. Saya tidak suka kawan yang hipokrit seperti dia. Di hadapan saya bermulut manis. Tetapi di belakang saya banyak kata-kata kejian untuk saya. Jadi saya menjauhkan diri daripadanya ketika di tahun-tahun terakhir saya bersekolah rendah. 

Walaubagaimanapun saya masih lagi dikelilingi kawan-kawan yang baik. Kawan-kawan yang tidak kisah tentang latar belakang saya. Ada kawan saya yang saya kenal ketika saya masih kanak-kanak lagi. Saya bersekolah bersama dia sampailah saya bersekolah tinggi setinggi pokok. Saya namakan kawan saya ini sebagai A.

Saya sangat baik dengan A. Walaupun pernah terpisah tapi kami tak pernah terputus hubungan. Tapi selepas  itu semuanya berubah selepas satu konflik yang berlaku antara saya dan kawan saya yang lain yang saya namakan B, yang juga kawan kepada A. Perubahan itu saya nampak sehingga lah sekarang. Saya sangat berkecil hati dengan A. Banyak perkara yang dibuat A yang betul-betul membuatkan saya jauh hati. Kadang-kadang hati saya rasa sebak kerana mengenangkan perkara-perkara yang dia tidak sepatutnya dia buat sebagai seorang kawan.

Saya betul-betul tersinggung. Walaupun ada perkara yang berlaku itu telah lama berlalu, tetapi masih berbekas lagi dihati. Saya tidak pernah bertanyakan A secara berterus terang oleh kerana saya terlalu menjaga hati sahabat-sahabat saya itu. Saya tidak tahu sama ada A sedar atau tidak yang dia pernah mengecilkan hati saya yang sedia kecil ini.

Saya tidak tahu kenapa saya begitu terasa sekali dengan A bila terpandang nama A di Facebook hari ini. Tiba-tiba perasaan kerisauan melanda diri saya iaitu perasaan yang sama datang ketika saya bersekolah rendah hinggalah sekolah setinggi pokok. Satu perasaan seperti orang menjauhkan diri daripada saya. yang membuatkan saya rasa sebak dan sedih di dalam hati.

Tapi bila saya berfikir semula saya rasa bodoh berperasaan sebegitu. Saya bukan bersekolah lagi. Kenapa saya perlu berperasaan begitu. Bukannya saya perlu berhadapan dengan mereka pun setiap hari.

Saya bernasib baik kerana mempunyai sebuah keluarga yang besar. Ada abang, kakak dan anak-anak saudara yang sangat rapat dengan saya. Kawan-kawan saya di pejabat juga sangat baik hati dan kawan-kawan saya yang lain ketika saya bersekolah rendah sampailah setinggi pokok juga ada yang sangat baik hati.

Saya rasa sudah tiba masanya untuk saya menjaga hati saya sendiri. Tak perlulah saya memikirkan perkara yang remeh temeh itu.

Pedulikan sahaja jika kawan kamu itu tidak mahu bercakap dengan kamu lagi...

Pedulikan sahaja jika kawan kamu itu tidak mempedulikan kamu lagi...

Pedulikan sahaja jika kawan kamu itu membuat kamu seperti halimunan...

Pedulikan sahaja semuanya...

Kerana

Allah ada bersama saya,

Begitu juga keluarga saya yang sentiasa berdiri teguh dibelakang saya

dan juga

Sahabat-sahabat yang masih menghargai saya sebagai seorang sahabat

Comments

Popular posts from this blog

Resepi: Mi Telur Goreng

Tersirat

Resepi: Bihun Goreng Putih